Motor milik seorang pemuda yang dibakar penduduk gara-gara kantoi menyelinap rumah wanita berstatus isteri orang. -Foto Detik
PENDUDUK kampung bertindak membakar sebuah motosikal selepas menemui seorang lelaki tidak dikenali bersembunyi di dalam rumah didiami wanita berstatus isteri orang, dalam kejadian awal pagi Ahad.Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Gersempal, dekat Sampang, Madura, Indonesia. Ketua Perhubungan Awam Polis Sampang, AKP Eko Puji Waluyo mengesahkan kejadian itu dan berkata insiden bermula apabila penduduk menemui sebuah motosikal mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah dengan lampu beranda dipadamkan.Berasa curiga, penduduk memeriksa rumah tersebut sebelum menemui seorang lelaki sedang bersembunyi di siling bilik tidur.Lelaki itu kemudiannya ditahan oleh penduduk kampung.Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan mengaku datang ke rumah tersebut untuk bertemu seorang wanita berusia 27 tahun, dikenali sebagai SH, yang merupakan isteri orang.Difahamkan, suami wanita itu sedang bekerja di luar kawasan ketika kejadian berlaku.Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan penduduk dan ahli keluarga wanita terbabit sehingga motosikal milik lelaki itu dibakar. Anggota dari Balai Polis Omben bergegas ke lokasi selepas menerima laporan.Situasi menjadi makin tegang apabila penduduk pada awalnya enggan menyerahkan lelaki itu kepada pihak polis dan menjadikannya sebagai 'tebusan'.Namun sekitar pukul 4.15 pagi, penduduk akhirnya bersetuju menyerahkan lelaki terbabit bersama barang bukti kepada polis untuk siasatan lanjut. -Agensi