suria

Suami mengamuk rosakkan perabot, berang isteri beli mesin pencuci pinggan tanpa pengetahuan

Situasi flat pasangan berkenaan yang bersepah angkara amukan si suami. -Foto: 163.com

SEORANG lelaki bertindak merosakkan perabot rumah gara-gara berang dengan  isterinya yang membeli mesin pencuci pinggan (dishwasher) tanpa pengetahuannya.

Dalam satu perkongsian di laman sosial, wanita yang menetap di wilayah Guangdong, selatan China itu berkata dia membeli mesin berharga 1,500 yuan (sekitar RM872) itu menerusi platform dalam talian kerana air paip pada musim sejuk terlalu dingin untuk mencuci pinggan secara manual.

Menurut wanita itu, suaminya juga tidak membantunya melakukan kerja rumah tersebut.

Segala-galanya bermula apabila suaminya mengetahui pembelian mesin berkenaan apabila seorang pekerja datang ke flat mereka untuk melakukan pemasangan. 

Suami wanita tersebut mengarahkannya membatalkan pesanan dan memulangkan mesin berkenaan namun dia enggan.

Lelaki berkenaan mendakwa dia tidak mampu menanggung kos tambahan air dan elektrik. 

Pertengkaran pasangan berkenaan menjadi tegang menyebabkan si suami bertindak merosakkan perabot serta barangan di ruang tamu.

Rakaman yang dimuat naik oleh wanita itu menunjukkan keadaan rumah yang rosak teruk.

Dia kemudian dilihat berlari keluar sambil menangis sebelum bermalam di sebuah hotel.

Walaupun kecewa, wanita itu akhirnya memulangkan mesin pencuci pinggan berkenaan keesokan hari. 

Suaminya kemudian menghubunginya untuk memohon maaf dan berjanji akan melayan isterinya dengan lebih baik, selain mencadangkan pembelian mesin pencuci bersaiz lebih kecil pada masa hadapan.

Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat dalam talian, dengan netizen menggesa pasangan berkenaan agar berkomunikasi dengan lebih baik. -Agensi 

Artikel Lain