SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun ditemukan dalam keadaan cedera dengan kabel dililit di leher oleh pasukan peronda polis dalam satu kejadian awal pagi Khamis.Ketua Perhubungan Awam Polis Mamuju, Inspektor Herman Basir berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan kepala selain kesan lilitan kabel di leher. Mangsa ditemukan di sebelah sebuah bengkel di daerah Mamuju, Sulawesi, Indonesia kira-kira pukul 3 pagi.Remaja itu kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat kesukaran bernafas serta kecederaan serius.Menurut Herman, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu sempat dilihat berada di lokasi kejadian.Namun kedua-duanya berjaya melarikan diri selepas terjun ke dalam sungai dalam suasana gelap.Mangsa belum dapat memberikan keterangan kerana lehernya masih bengkak, menyebabkan polis tidak dapat menentukan motif sebenar kejadian sama ada bunuh diri, cubaan dibunuh atau serangan seksual.Polis kini giat mengumpul bukti serta mencari identiti untuk mengesan dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan. -Agensi