suria

Jutawan kripto Rusia dan isteri dibunuh kejam… Mayat dikerat, ditanam di padang pasir!

Mayat pasangan ini dikerat dan ditanam di padang pasir berhampiran Dubai.

SEORANG jutawan dan isterinya yang dilaporkan diculik awal bulan lalu akhirnya ditemukan maut dalam keadaan mengerikan pada Ahad.

Mangsa, Roman Novak, 38, dan isterinya, Anna, ditemukan dikerat beberapa bahagian dan ditanam di padang pasir berhampiran Dubai, di Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Kali terahir pasangan itu dilihat menuju ke sebuah tasik berhampiran resort pergunungan Hatta untuk menemui 'pelabur tidak dikenali'.

Mereka terkenal di media sosial kerana mempamerkan kemewahan seperti kereta mewah dan jet peribadi.

Beberapa hari sebelum hilang, Novak membeli kereta British AC Cobra yang jarang ditemui. 

Mereka dipercayai dibawa ke Hatta oleh pemandu peribadi dan kemudian dipindahkan ke kenderaan lain. 

Novak sempat menghantar mesej kepada kenalannya bahawa dia 'tersangkut di pergunungan bersempadan Oman' dan memerlukan £152,000 (RM900,000). 

Komunikasi dengan pasangan itu kemudian terputus dan tidak dapat dikesan namun telefon mereka dikesan di Hatta, Oman dan Cape Town sebelum hilang pada awal Oktober. 

Polis percaya pembunuh sengaja menghidupkan semula telefon mangsa untuk mengelirukan siasatan.

Polis juga menemukan kesan darah Anna di vila, kereta sewa, pisau berhampiran lokasi jenayah serta sehelai t-shirt suspek.

Susulan itu tiga suspek warga Rusia direman sehingga 28 Disember, di St Petersburg, Stavropol dan Krasnodar.

Semua suspek itu ialah Konstantin Shakht, 53, bekas penyiasat pembunuhan kini penyeludup dadah, Yury Sharypov, 46, dan Vladimir Dalekin, 45, kedua-duanya bekas tentera. 

Mereka didakwa sebagai 'pelabur' yang menuntut kata laluan wallet crypto (kripto) Novak. 

Lima lagi warga Rusia bawah 25 tahun dipercayai terlibat.

Novak sebelum ini mendakwa mempunyai hubungan dengan jutawan Telegram, Pavel Durov, dan sedang disiasat kerana didakwa menipu pelabur crypto lebih £38 juta (RM226.1 juta). 

Mangsa termasuk ahli perniagaan dari China dan Timur Tengah.

Menurut laporan Komsomolskaya Pravda, Novak terkenal sebagai manipulator yang berjaya meyakinkan orang menyerahkan ratusan juta dolar. 

Dia juga dikatakan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan sebelum ini dan menjalankan rangkaian kripto pantas melalui aplikasi dibangunkan oleh pengatur cara dari Ukraine.

Selepas kejadian, anak-anak pasangan itu dijaga oleh ibu bapa Anna. -Agensi

Artikel Lain