Tandas 'paling berharga di dunia' ini adalah karya seni unik artis kontroversi Itali, Maurizio Cattelan.
RUMAH lelong terkemuka, Sotheby's New York, mengumumkan bakal mengadakan lelongan bagi tandas paling berharga di dunia, sebuah karya seni unik yang diperbuat sepenuhnya daripada emas padu.Tandas tersebut dihasilkan oleh artis kontroversi Itali, Maurizio Cattelan, yang menamakan ciptaannya sebagai America. Menurut Cattelan, karya itu bersifat satira terhadap kekayaan melampau dan jurang sosial antara golongan kaya dan miskin."Apa sahaja yang anda makan, sama ada makan tengah hari berharga AS$200 (RM832) atau hot dog AS$2 (RM8), hasilnya tetap sama apabila sampai ke tandas," katanya dalam nada sinis.Tandas emas itu diperbuat daripada emas 18 karat seberat 101.2 kilogram, dengan harga bidaan permulaan sebanyak AS$10 juta (sekitar RM41.6 juta). Nilai itu ditentukan berdasarkan harga emas semasa dan mungkin berubah bergantung pada turun naik pasaran menjelang hari lelongan.Menurut laman web rasmi Sotheby's, karya tersebut digambarkan sebagai 'ulasan tajam tentang pertembungan antara pengeluaran artistik dan nilai komoditi'.Dua versi tandas berkenaan pernah dicipta pada tahun 2016 oleh artis yang sama. Salah satunya pernah dipamerkan di Istana Blenheim, England, sebelum dilaporkan dicuri dalam kejadian rompakan berprofil tinggi pada tahun 2019. -Agensi