suria

Pelajar ditendang di bahagian alat sulit hingga cedera, tiga rakan sekelas didakwa

Kes buli di sekolah semakin menjadi-jadi sekali gus menimbulkan kebimbangan ibu bapa. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar lelaki berusia 13 tahun terpaksa dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecederaan pada bahagian alat sulit selepas diserang tiga rakan sekelasnya.

Menurut laporan, pelajar di sebuah sekolah di Mysuru, Karnataka, India itu telah lama menjadi mangsa gangguan, termasuk dipaksa membawa wang tunai dan telefon bimbit ke sekolah sebelum dirampas oleh pelaku.

Kejadian terbaharu berlaku pada 25 Oktober, apabila tiga tertuduh membawa mangsa ke tandas dan menyerangnya.

"Dua daripada mereka memegang tangan saya dan seorang menendang kemaluan saya dua kali," kata mangsa kepada media.

Mangsa mendakwa dibuli sejak darjah 4 dan aduan ibunya kepada guru tidak mendapat tindakan. 

Keluarga mangsa juga mendakwa polis pada mulanya enggan membuka kertas siasatan, namun akhirnya berbuat demikian selepas desakan keluarga.

Kes kini disiasat oleh Balai Polis Jayalakshmipuram sementara tiga pelajar terbabit didakwa di bawah Akta Keadilan Juvana. 

Pihak pengurusan sekolah dan beberapa guru turut dinamakan sebagai 'tertuduh' kerana didakwa gagal bertindak terhadap aduan buli terdahulu. -Agensi

Artikel Lain