suria

Puluhan ribu ringgit dalam akaun 'licin'! Budak 8 tahun guna duit mak ayah beli 'gift' di media sosial

Ibu bapa perlu mengawasi tingkah laku anak ketika menggunakan telefon. -Gambar hiasan AI

SEORANG kanak-kanak perempuan menghabiskan keseluruhan simpanan ibu bapanya dengan membeli hadiah maya untuk diberikan kepada hos siaran langsung di media sosial menggunakan telefon mereka.

Menurut laporan, kanak-kanak berusia lapan tahun itu sering bermain dengan telefon ibu bapanya sehingga menghafal kata laluan pembayaran. 

Pada Mei lalu, dia secara tidak sengaja menyertai satu siaran langsung dan mula menghantar hadiah maya kepada hos yang diminatinya.

Perbelanjaannya untuk membeli hadiah meningkat dalam tempoh dua bulan sehingga dia menjadi penyokong utama di beberapa saluran siaran langsung. 

Ketika ibu bapanya mahu membayar gaji pekerja, mereka terkejut mendapati baki akaun bank hanya tinggal 25 yuan (RM16), manakala simpanan lebih 70,000 yuan (RM45,000) lesap.

Kejadian dilapor berlaku di wilayah Xinjiang, China dengan pasangan tersebut segera membuat laporan polis. 

Siasatan mendapati semua transaksi dibuat tanpa kebenaran ibu bapa.

Selepas rundingan dengan pihak platform, jumlah penuh 71,803 yuan telah dikembalikan pada 10 Ogos.

“Kami rasa seperti langit runtuh bila lihat duit semua habis,” kata ibu bapa kanak-kanak itu sambil berterima kasih kepada polis atas usaha mereka mendapatkan semula wang tersebut.-Agensi

 

Artikel Lain