SEORANG wanita berusia 20 tahun dijatuhi hukuman percubaan selama 12 bulan dengan pengawasan bermula 27 Oktober selepas didapati membuat laporan palsu kononnya dia dirogol.
Mahkamah di Singapura turut memerintah tertuduh, Claris Ling Min Rui berkurung di rumah antara pukul 10 malam hingga 6 pagi kecuali dengan kebenaran selain perlu melaksanakan 60 jam khidmat masyarakat.
Menurut laporan CNA, Ling membuat dakwaan itu selepas seorang lelaki berusia 43 tahun yang dikenalinya menerusi platform temu janji Sugarbook enggan membayar SGD1,200 (kira-kira RM3,893) untuk hubungan seks yang dilakukan.
Siasatan mendapati mereka berdua berkenalan secara dalam talian sebelum bersetuju untuk bertemu pada Mac 2025 apabila lelaki itu menawarkan bayaran SGD200 (RM684).
Selepas bertemu di sebuah bar, mereka mengadakan hubungan seks secara suka sama suka di sebuah hotel dan Ling kemudiannya menuntut bayaran daripada lelaki berkenaan.
Namun, lelaki itu hanya menawarkan SGD500 (RM1,622) selepas dimarahi Ling.
Berang dengan tawaran berkenaan, Ling mengugut akan membuat laporan polis mendakwa dia dirogol.
Malah dia turut menghantar mesej berbaur ugutan berbunyi: 'You’re f**ed'.
Pada peringkat awal siasatan, dia mendakwa laporan rogol yang dibuatnya adalah benar, namun akhirnya mengaku ia palsu selepas lelaki itu enggan membayar jumlah yang diminta.
Ling mengaku bersalah pada September 2025 atas dua pertuduhan termasuk memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan menimbulkan ketakutan dengan mengugut untuk membuat laporan palsu.
Bagi memastikan pematuhan syarat percubaan itu, ibu bapanya turut dikenakan bon sebanyak SGD5,000 (RM16,221) sebagai jaminan.
Untuk maklumat, hukuman percubaan 12 bulan bermaksud seseorang itu dikenakankan satu tempoh pengawasan oleh pihak berkuasa. -Agensi


