SEORANG pempengaruh media sosial ditahan selepas didakwa mengetuai rangkaian pengedaran dadah antara negeri.
Melissa Said, 23 yang mempunyai lebih 378,000 pengikut di Instagram, ditahan di rumah rakannya pada Ahad selepas sehari melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Menurut laporan, polis menyerbu lima kediaman berkaitan dengan pempengaruh itu dan menahan empat lelaki, selain merampas 1.4 kilogram ganja.
Sebanyak 10 waran geledah turut dikeluarkan di dua negeri iaitu Bahia dan São Paulo di Brazil.
Melissa (dua, kiri) menafikan dakwaan dia mengedar ganja. -Foto TV Bahia
Melissa yang kini ditahan di Penjara Wanita Brotas, menafikan semua dakwaan dan mendakwa dia ditahan hanya kerana menghasilkan kandungan mengenai penggunaan ganja di media sosial.
Siasatan terhadapnya bermula tahun lalu menerusi Operasi Erva Afectiva, yang dinamakan sempena bio Instagramnya bermaksud “pencinta ganja”.
Polis mendakwa dia menggalakkan pengikutnya menyeludup dan menggunakan ganja serta memberi panduan untuk mengelak daripada ditangkap.
Jika disabitkan kesalahan, Melissa berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.-Agensi


