SEORANG wanita bertindak di luar kawalan apabila merempuh kedai minuman 'bubble tea' dengan kereta selepas peniaga enggan menghantar pesanannya terus ke dalam kereta.
Kejadian dilaporkan berlaku di Bangkok, Thailand pada Khamis.
Berdasarkan laporan, wanita terbabit pernah singgah di kedai milik Sutathip, 29 tahun, dua hari sebelumnya dan menjerit bagi membuat pesanan dari dalam kereta tanpa keluar atau meletak kenderaan dengan betul.
Tindakannya itu membuatkan Sutathip menegur dan meminta dia berhenti di tempat sesuai kerana keretanya menghalang laluan kenderaan lain.
Selepas minuman disiapkan, peniaga itu menunggu pelanggan tersebut mengambil pesanan.
Namun wanita berusia lingkungan 40-an itu kekal menunggu di dalam keretanya sebelum tiba-tiba menjerit, "dah siap belum? Lama sangat".
Selepas diminta turun untuk mengambil minumannya sendiri, wanita berkenaan berang dan bertindak membatalkan pesanan.
Bagaimanapun, pada hari kejadian (Khamis, 23 Oktober), wanita terbabit kembali ke lokasi sambil menjerit kata-kata kesat dari dalam kereta dan mengeluarkan kata-kata ugutan: "kau akan terima padah nanti".
Dia pada awalnya berpusing-pusing di kawasan itu sambil memaki hamun, menyebabkan kekecohan di sekitar kedai sebelum mengundurkan Toyota Fortuner berwarna kelabu dan memecut merempuh bahagian hadapan kedai.
Dua buah motosikal turut dilanggar dalam kejadian tersebut.
Wanita itu kemudiannya melarikan diri dari lokasi. -Agensi


