ISRAEL kini berdepan wabak campak hingga meragut nyawa lapan bayi, demikian menurut laporan media berbahasa Ibrani.
Kini, pihak berkuasa negara itu sedang berusaha mengekang penularan virus berkenaan yang sudah merebak ke sembilan penempatan di seluruh Israel.
Menurut laporan pada Ahad, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan di Pusat Perubatan Universiti Hadassah, Ein Kerem, selepas dirawat selama sepuluh hari dalam keadaan kritikal.
Kematian itu menjadikan jumlah korban wabak tersebut meningkat kepada lapan orang sejak ia mula dikesan pada April lalu.
Kementerian Kesihatan mengesahkan kesemua lapan kanak-kanak yang meninggal dunia tidak menerima vaksin dan berusia bawah dua tahun setengah.
Gelombang jangkitan kali ini pada awalnya tertumpu di kawasan dengan kadar liputan vaksin rendah seperti Jerusalem, Beit Shemesh dan Bnei Brak, namun kini dilaporkan meningkat dengan ketara.
Data rasmi menunjukkan lebih 1,700 pesakit disahkan dijangkiti campak, namun model statistik menganggarkan jumlah sebenar individu yang dijangkiti mencecah sekitar 5,000 orang.
“Kami tahu masih ramai pesakit yang tidak didiagnos dan terdapat beberapa ribu lagi yang dijangkiti penyakit ini,” kata Ketua Epidemiologi Israel, Sharon Alroy-Preis.
Penyakit itu turut memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan Israel, dengan 468 pesakit memerlukan rawatan di hospital dan 93 peratus daripadanya terdiri daripada kanak-kanak. -Roya News


