suria

Suami simbah minyak tanah, bakar isteri hidup-hidup! Rupanya cemburu tengok asyik berbual dengan lelaki lain

Perasaan terlalu cemburu boleh mengundang bahaya kepada pasangan. -Gambar hiasan AI

AKIBAT didorong rasa cemburu yang melampau, seorang lelaki bertindak kejam dengan membakar isterinya hidup-hidup.

Suspek berusia 26 tahun itu disyaki menyiram badan isterinya yang berumur 24 tahun dengan bahan mudah terbakar dipercayai minyak tanah sebelum menyalakan api.

Mangsa kini dirawat di Hospital Hermina Jatinegara di Indonesia akibat melecur teruk di bahagian muka dan badan dalam kejadian pada Isnin.

Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Paulo, suspek sudah lama tidak tinggal di rumah tersebut sebelum kejadian berlaku. 

“Dia sudah tidak tinggal di sini sejak kes dia memukul seorang penjual bubur. 

"Hari kejadian dia datang melawat neneknya, kemudian ternampak isterinya sedang berbual dengan seseorang,” katanya pada Rabu.

Tambah Paulo, pertengkaran antara pasangan itu berlaku di dalam bilik sebelum suspek bertindak di luar kawalan.

“Dia marah, terus curahkan minyak tanah ke badan isterinya lalu menyalakan api. Wajah mangsa cedera parah dan dia terus dibawa ke hospital,” ujarnya.

Mangsa sempat diselamatkan oleh abangnya yang datang membantu dan menyiram air bagi memadamkan api.

“Abangnya segera datang, tuang air dan padamkan api. Lepas itu suspek terus melarikan diri,” tambahnya.

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polres Metro Jakarta Timur, AKBP Dicky Fertoffan, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang memburu suspek. -Agensi

 

 

 

Artikel Lain