SEORANG lelaki ditahan selepas mencuri wang hadiah perkahwinan daripada sebuah keluarga pengantin baharu yang dikenali hanya melalui platform media sosial.
Lelaki itu menyamar dengan memakai rambut palsu ketika melakukan rompakan, hanya beberapa hari selepas majlis perkahwinan mangsa.
Suspek yang dikenali dengan nama Peng itu ditangkap pada 2 Oktober lalu di rumahnya di wilayah Jiangxi, China.
Menurut laporan, suspek menemui mangsa selepas menonton video majlis perkahwinannya yang dimuat naik oleh tetamu di Douyin pada 29 September lalu, yang menyebut nama 'Boss Peng' dari Tieshan.
Berdasarkan petunjuk itu, dia menggunakan aplikasi peta untuk menjejak alamat keluarga tersebut sebelum memecah masuk ke rumah mangsa pada waktu malam dan melarikan semua wang tunai yang disimpan dalam kotak.
Mangsa, yang juga bernama Peng, memaklumkan bahawa wang berjumlah 380,000 yuan (RM250,000) itu termasuk hadiah daripada tetamu, mas kahwin serta pemberian keluarga kepada menantu.
Kehilangan wang hanya disedari keesokan pagi dan laporan polis segera dibuat.
Siasatan menerusi rakaman kamera keselamatan menunjukkan suspek meninggalkan kawasan kampung pada pukul 4 pagi dengan membawa beg besar.
Polis kemudian berjaya menjejak kenderaan yang diguna suspek hingga ke rumahnya dan menemui hasil curi disembunyikan di kedai milik isterinya.
Suspek mengaku ketagih judi dan mempunyai banyak hutang antara punca bertindak memecah masuk rumah pengantin tersebut.
Dia turut mendedahkan sebelum ini telah merompak dua keluarga lain, yang masing-masing kehilangan antara 20,000 hingga 30,000 yuan (RM13,000 – RM19,000) selepas majlis perkahwinan mereka. -Agensi


