SEORANG kanak-kanak perempuan ditemukan maut dibunuh dan diperkosa oleh seorang remaja lelaki di sebuah rumah, pada Isnin malam.
Siasatan awal polis mendapati jenayah itu bermula dengan pembunuhan, disusuli dengan serangan seksual yang melibatkan suspek berusia 16 tahun dan mangsa, 12 tahun.
“Ada unsur kekerasan seksual, bermula dengan pembunuhan diikuti kekerasan seksual.
"Suspek telah diberkas dan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Metro Jakarta Utara, Kombes Pol Erick Frendriz pada Selasa.
Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Cilincing, Jakarta Utara di Indonesia.
Berdasarkan maklumat awal, suspek menjerut leher mangsa yang juga jirannya menggunakan kabel pengecas telefon, sebelum menekup mulutnya sehingga tidak bernafas.
Selepas memastikan mangsa tidak bernyawa, suspek kemudian melakukan perbuatan tidak senonoh pada tubuh mangsa.
“Pelaku berhenti sekolah sejak beberapa tahun lalu. Dia membunuh jirannya sendiri dengan mengikat kabel telefon pada leher mangsa, menekup mulutnya hingga tidak dapat bernafas, lalu melakukan tindakan cabul terhadap mangsa,” jelas Erick.
Polis turut menemui beberapa bahan bukti di tempat kejadian termasuk pakaian mangsa, kabel pengecas dan sebiji bantal.
Mayat kini berada di Rumah Sakit Polri Kramat Jati untuk proses bedah siasat bagi melengkapkan bukti forensik dan menyokong penyiasatan.
“Kami akan menegakkan keadilan mengikut undang-undang perlindungan wanita dan jenayah seksual. Tindakan undang-undang akan dijalankan secara tegas,” tegas Erick.
Pihak polis masih menyiasat motif sebenar di sebalik tindakan kejam suspek, termasuk kemungkinan faktor dendam, tekanan emosi, atau gangguan mental.-Agensi


