SEORANG lelaki meninggal dunia beberapa jam selepas terminum cecair pencuci tandas yang disangkakan minuman ringan, hanya beberapa jam selepas dibenarkan pulang dari hospital tanpa pemerhatian lanjut, dalam kejadian pada Isnin.
Mangsa berusia 44 tahun dikatakan minum kira-kira suku daripada sebotol cecair berwarna hijau yang disangka minuman berkarbonat, namun sebenarnya pencuci tandas yang disimpan semula dalam botol minuman.
Menurut kakak mangsa, adiknya berasa dahaga selepas pada malam sebelumnya minum arak dalam kuantiti banyak.
Ketika mencapai botol tersebut, dia terus meneguk cecair di dalamnya beberapa kali dan muntah sebaik menyedari rasanya pelik.
Kejadian tragis itu berlaku di daerah Satuek, wilayah Buriram di Thailand.
Keluarga yang panik segera membawa mangsa ke hospital berdekatan dan menunjukkan kepada petugas botol berisi bahan kimia berkenaan.
Namun, selepas pemeriksaan ringkas, doktor hanya memberikan ubat dan membenarkannya pulang ke rumah.
Beberapa jam kemudian, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri dengan pasukan perubatan yang tiba tidak sempat menyelamatkannya.
Keluarga mangsa menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan hospital yang tidak menahan pesakit untuk pemantauan lanjut, sedangkan mereka telah menjelaskan bahan yang diminum adalah cecair berbahaya.
Menurut doktor forensik yang memeriksa mayat, pesakit seperti itu biasanya dibenarkan pulang jika tiada simptom serius ketika rawatan awal.
Pemilik bahan pencuci itu pula menjelaskan bahawa dia menuang pencuci tandas dari bekas besar ke dalam botol minuman untuk diagihkan kepada ahli keluarga dan berada di tempat kejadian semasa mangsa tersalah minum.-Agensi


