SEORANG wanita di Tennessee, Amerika Syarikat berdepan pengalaman mengejutkan apabila hotel yang ditempahnya masih dalam pembinaan.
Perkara itu hanya disedarinya ketika dia tiba untuk mendaftar masuk pada tarikh tempahan.
Berkongsi pengalaman dengan portal View From the Wing, wanita berkenaan memaklumkan dia membuat tempahan dua bulan lebih awal di TownePlace Suites by Marriott Murfreesboro.
Malam itu sepatutnya menjadi detik istimewa buatnya kerana ia merupakan percutian 'peribadi' pertama dalam tempoh lima tahun selepas bergelar ibu.
Namun, apa yang diharapkan sebagai malam santai bertukar menjadi mimpi ngeri apabila hotel tersebut rupa-rupanya belum siap dibina.
"Tiba di hotel untuk daftar masuk, tapi ia belum siap! Pintu berkunci, perabot masih berbalut plastik, kolam belum siap dan kerja pembinaan masih dijalankan," katanya.
Malah dia juga tidak menyedari sebarang kejanggalan kerana tetap menerima e-mel pengesahan daftar masuk serta peringatan aplikasi daripada pihak hotel sebelum tarikh tempahan.
Namun ketika menghubungi khidmat pelanggan, wanita itu mendakwa tidak mendapat bantuan sewajarnya.
Pihak hotel turut menolak permintaan menggunakan polisi walk me kerana dia masih belum masuk ke premis.
Untuk maklumat, polisi itu adalah dasar yang membolehkan tetamu dipindahkan ke hotel lain tanpa bayaran tambahan jika bilik tidak dapat disediakan.
Pun begitu, mereka akhirnya menempah hotel berhampiran dan memberikan ganjaran mata dua kali ganda daripada apa yang dibelanjakan.
"Mereka menghantar e-mel kepada hotel berkenaan untuk pengembalian mata kerana tidak dapat membatalkan tempahan," tambahnya.


