suria

Israel ancam sambung serangan terhadap Gaza jika Hamas langgar perjanjian

Sebahagian penduduk Gaza kembali ke kediaman masing-masing. -Foto France24

ISRAEL memberi amaran akan menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza sekiranya Hamas gagal mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Amaran itu disampaikan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, susulan penyerahan dua lagi mayat tebusan oleh Hamas dan dakwaan kumpulan itu bahawa mereka tidak dapat mengeluarkan baki mayat lain dari runtuhan Gaza tanpa peralatan khas.

Sejak Isnin lalu, di bawah perjanjian gencatan senjata yang dirunding oleh Presiden AS Donald Trump, Hamas menyerahkan 20 tebusan hidup kepada Israel sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel.

Dalam kenyataan rasmi, pejabat Katz menegaskan bahawa jika Hamas enggan mematuhi syarat perjanjian, Israel dengan kerjasama AS akan menyambung semula pertempuran bagi mencapai kekalahan total Hamas dan mengubah realiti di Gaza.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, pula menyatakan bahawa dua mayat yang diserahkan itu adalah yang terakhir buat masa ini kerana kekangan akses dan peralatan.

Mereka mendakwa telah menyerahkan semua tebusan hidup dan mayat yang dapat dicapai.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben Gvir, turut mengugut untuk menghentikan penghantaran bantuan ke Gaza sekiranya Hamas gagal menyerahkan semua mayat tentera Israel.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel membuka semua lintasan sempadan, termasuk Rafah, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan segera disalurkan ke Gaza.

Agensi pertahanan awam Gaza pula melaporkan tiga rakyat Palestin maut akibat tembakan Israel, termasuk dua yang cuba kembali ke rumah mereka di kawasan Shujaiya, Gaza.

Tentera Israel mendakwa individu berkenaan melanggar garisan kuning yang ditetapkan di bawah perjanjian gencatan senjata. -Agensi

 

Artikel Lain