RAKAMAN video seorang lelaki yang memukul isterinya di hadapan anak-anak, tular di media sosial sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa.
Lebih menyedihkan apabila video tersebut direkod oleh anak mereka sendiri yang turut menghalang kekerasan diakukan si bapa.
Bagaimanapun, teguran itu bukan sahaja tidak diendahkan malah suspek bertindak menarik mangsa hingga terjatuh sebelum memijak, menendang dan memukulnya tanpa belas kasihan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Asahan, Indonesia.
Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak (UPPA) Asahan, Inspektor Rospita berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran rumah tangga pasangan terbabit.
Mangsa yang tidak tahan dipukul kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Asahan.
Susulan itu, sepasukan anggota dari UPPA bertindak menahan suspek di rumahnya di Jalan Kutilang, Karang Anyer, Kisaran Timur.
"Kami telah menangani kes keganasan rumah tangga yang tular itu. Setelah disiasat, memang ada masalah rumah tangga antara mangsa dan suspek," katanya pada Isnin.
Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 44(1) Undang-undang No. 23 Tahun 2004 berkaitan Keganasan Rumah Tangga.
"Suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda 15 juta rupiah (kira-kira RM4,300).
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk diserahkan kepada pendakwa raya," tambahnya. -Agensi


