SEORANG wanita dipercayai meninggal dunia akibat kebocoran gas ketika berbulan madu dengan suaminya.
Mangsa, Cindy Desta Nanda disahkan meninggal dunia, manakala suaminya, Gilang Kurniawan kini berada dalam keadaan kritikal.
Kejadian berlaku ketika pasangan berusia 28 tahun itu bercuti di penginapan glamping di kawasan Danau Diateh, Sumatera Barat, Indonesia.
Ketua Polis Sektor (Kapolsek) Lembah Gumanti, AKP Barata Rahmat Sukarsih, memaklumkan kejadian itu hanya disedari oleh petugas yang menghantar sarapan ke bilik penginapan mereka pada 9 Oktober.
“Ketika petugas datang, pasangan itu langsung tidak menyahut,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Malam berinai bertukar kecoh... Tetamu mengadu sakit, tiba-tiba bersalin di rumah pengantin!
Pelayan kemudian memaklumkan kepada rakan sekerjanya sebelum mereka memecahkan pintu bilik dan mendapati kedua-duanya terbaring di lantai bilik mandi.
Kedua-dua mangsa segera dikejarkan ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Alahan Panjang, namun Cindy disahkan meninggal dunia.
Polis masih menyiasat punca sebenar kematian, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kebocoran gas pemanas air di bilik mandi.
Lokasi penginapan yang berhampiran dengan tasik berkenaan memang terkenal dengan suhu sejuk.
“Kami belum dapat membuat kesimpulan. Segala kemungkinan masih disiasat, namun belum dapat dipastikan,” tambah Barata. -Agensi.


