suria

Wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi ditembak mati ketika buat liputan

Saleh Aljafarawi ditembak mati oleh anggota militan bersenjata. -Foto Abdelhakim Abu Riash/Al Jazeera

WARTAWAN Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan terbunuh dalam insiden pertempuran di bandar Gaza, hanya beberapa hari selepas Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata di semenanjung Gaza.

Menurut sumber Palestin kepada Al Jazeera Arabic, wartawan berusia 28 tahun itu, yang dikenali menerusi video liputannya mengenai perang, ditembak mati oleh anggota 'militan bersenjata' ketika membuat liputan di kejiranan Sabra.

Agensi Sanad milik Al Jazeera mengesahkan rakaman yang dikongsi wartawan dan aktivis menunjukkan mayatnya memakai jaket kalis peluru dengan tulisan 'press'  di belakang sebuah trak. 

Dia dilaporkan hilang sejak pagi Ahad.

Sumber Palestin turut memaklumkan pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan Hamas dan kumpulan bersenjata daripada klan Doghmush di kawasan Sabra pada Ahad, namun perkara itu belum disahkan pihak berkuasa tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Trak bantuan masuk ke Gaza... Ini 8 perkara akan berlaku pada fasa pertama gencatan senjata Hamas-Israel

Seorang pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri Gaza memberitahu Al Jazeera Arabic pertempuran di Bandar Gaza melibatkan 'militan bersenjata yang bersekutu dengan (penjajahan) Israel'.

Sumber itu berkata, pasukan keselamatan mengepung kumpulan militia berkenaan, sambil menambah bahawa 'anggota militan' terbabit membunuh beberapa penduduk yang sedang pulang dari Gaza selatan ke bandar Gaza.

Meskipun gencatan senjata baharu diumumkan, pihak berkuasa tempatan menegaskan situasi keselamatan di Gaza masih tidak menentu. -Agensi.

Artikel Lain