LIMA lelaki didakwa merogol seorang gadis selepas kumpulan itu memukul teman lelakinya di sebuah taman pada Sabtu.
Menurut polis, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang duduk berbual di lokasi berkenaan.
Sekumpulan lima lelaki tiba-tiba datang dan memarahi pasangan itu kerana berada berdua-duaan di tempat awam di Lucknow, India.
Tidak lama kemudian, mereka mula memukul teman lelaki mangsa dan menghalaunya, sebelum mengheret gadis itu ke kawasan terpencil lalu merogolnya secara bergilir-gilir.
Selepas kejadian, mangsa yang trauma pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada kakak dan bapanya.
Keluarga mangsa membuat laporan polis pada sebelah petang dan pihak berkuasa segera melancarkan operasi besar-besaran untuk menjejaki semua suspek.
Dua daripadanya iaitu Lalit Kashyap, 33 dan Miraj, 23, berjaya ditahan.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Lucknow, Nipun Agarwal, pasukan rondaan terserempak dengan dua lelaki itu ketika mereka menunggang motosikal di kawasan berhampiran tempat kejadian.
Apabila diarahkan berhenti, suspek melepaskan tembakan ke arah polis, menyebabkan anggota bertugas membalas tembakan dan mencederakan Lalit di kaki sebelum menahannya.
Rakannya yang menunggang bersama berjaya melarikan diri, namun operasi menjejakinya masih dijalankan.
Tidak lama kemudian, polis menahan Miraj.
Siasatan awal mendapati semua lima suspek saling mengenali antara satu sama lain, dan dua yang ditahan telah mengaku terlibat dalam jenayah tersebut. -Agensi


