MAJLIS konvokesyen adalah momen terindah dalam kehidupan setiap pelajar selepas berjaya menamatkan pengajian.
Namun bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka terpaksa melupakan hasrat untuk meraikannya bersama rakan-rakan yang lain seperti dialami Rashika Fazali.
Mengakui mengalami masalah kewangan, dia bagaimanapun tetap hadir ke majlis graduasi tersebut namun hanya berada di kerusi penonton.
Berdasarkan video yang dikongsikan di media sosial, dia menjelaskan kos untuk membayar majlis graduasi terpaksa digunakan untuk menampung kehidupannya selama sebulan.
"Saya menjadi tetamu di majlis graduasi saya sendiri.
"Daripada segi kewangan, saya tidak mampu. Mengharungi kehidupan lebih penting daripada menaiki pentas.
"Tetapi saya benar-benar berharap saya melakukannya. Saya tidak pernah memakai jubah konvo sebelum ini atau menamatkan pengajian," ujar graduan daripada sebuah universiti di Sri Lanka itu menerusi video yang dimuatkan di Instagram.
Lebih menyedihkan apabila dia berkongsi pengalaman pernah berhenti daripada pengajian disebabkan masalah kewangan.
Meskipun kecewa kerana tidak berjaya menaiki pentas graduasi, namun Fazali menganggap ia sebagai momen 'pahit manis' dalam kehidupannya.
"Sekurang-kurangnya, saya mempunyai kenangan itu dan yang paling penting, saya dapat menceriakan rakan yang turut memberi sokongan ketika melalui fasa paling teruk dalam kehidupan.
"Saya amat berbangga dengan diri sendiri, bergradusi dengan merit dan cemerlang dalam penyelidikan sehingga akhirnya menjadi pemegang sarjana.
"Saya melakukan semuanya semasa menjadi ibu tunggal yang bekerja tanpa sebarang sokongan," katanya. -Agensi


