RAKAMAN video memaparkan insiden permainan berpusing (spinning ride) 'Break Dance Ride' runtuh ketika beroperasi mencetuskan kekecohan ramai.
Insiden mencemaskan yang berlaku di sebuah pesta (fun fair) di utara India itu mengakibatkan dua pengunjung cedera.
Berdasarkan video tular, permainan itu jatuh ke satu sisi sebelum dua lelaki yang berada di dalamnya, tercampak keluar.
Seorang mangsa pada awalnya diseret di atas lantai akibat daya putaran mesin, manakala seorang lagi nyaris tertarik ke bawah ketika cuba membantu.
Bimbang dengan situasi berlaku, pengunjung menjerit ketakutan dan mula melarikan diri dari lokasi kejadian.
Menurut saksi, permainan itu terpelanting dengan kelajuan tinggi sebelum terhempas ke bawah.
Malah ia turut mengenai beberapa individu yang berdiri di bahagian bertentangan seterusnya mengakibatkan suasana bertukar huru-hara.
Tambahnya, ratusan pengunjung pesta berlari menyelamatkan diri, manakala beberapa individu masuk ke kawasan permainan untuk membantu mangsa cedera.
Dalam pada itu, pihak berkuasa mengesahkan dua cedera namun telah diberi rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital.
Polis turut menutup lokasi permainan berkenaan dan mengawal keadaan di tapak pesta.
Kejadian itu mencetuskan semula kebimbangan terhadap isu keselamatan permainan bergerak yang dikendalikan kontraktor swasta di India berikutan kebanyakannya beroperasi tanpa pemeriksaan atau sijil sah.
"Adakah permainan ini diperiksa?
"Mereka caj mahal, tapi di mana penyelenggaraannya," demikian antara reaksi netizen. -Agensi


