DUA lelaki warga India menghadapi pertuduhan atas kesalahan jenayah seksual membabitkan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun di London.
Semasa penghakiman, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun kepada Vruj Patel manakala 15 bulan kepada adiknya, Kishan Patel.
Hukuman itu diputuskan di Mahkamah Snaresbrook Crown pada 7 Oktober 2025, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas 17 pertuduhan yang direkodkan.
Berdasarkan laporan, kedua-dua tertuduh ditahan selepas juruteknik telefon menemui video yang menggambarkan penderaan seks kanak-kanak di telefon Kishan, semasa membaiki perantinya.
Carian lanjut menemui rakaman tambahan, termasuk rakaman Vruj merogol seorang wanita dan video 'voyeuristik' (rakaman curi) seorang gadis.
Identiti mereka kemudiannya disahkan melalui pakaian dan aksesori yang kelihatan dalam rakaman itu.
Susulan itu, Vruj mengakui jenayah dilakukannya termasuk merogol dan menyerang secara seksual kanak-kanak di bawah 13 tahun serta menyebabkan seorang kanak-kanak terlibat dalam aktiviti seksual, semuanya berkaitan dengan seorang mangsa.
Dia juga mengaku merogol dan melakukan serangan seksual terhadap wanita berusia lebih 16 tahun. -Agensi


