suria

Tak malu jadi penghantar makanan walaupun ada PhD, ijazah dari Oxford

Ding Yuanzhao mempunyai kelulusan akademik hingga peringkat PhD. -Foto Douyin

SEORANG lelaki mencuri perhatian ramai selepas kisahnya sebagai penghantar makanan tular, walaupun memiliki kelulusan akademik dari beberapa universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Oxford.

Lelaki berusia 39 tahun itu meraih beberapa ijazah dari institusi berprestij merangkumi ijazah Universiti Kebangsaan China yang dikenali sebagai gaokao pada 2004 dan melanjutkan pengajian di Universiti Tsinghua dalam bidang kimia.

Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Peking bagi ijazah sarjana dalam kejuruteraan tenaga, sebelum menerima ijazah kedoktoran (PhD) dalam biologi dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Selain itu, beliau turut memperoleh ijazah sarjana dalam biodiversiti dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Atas kecemerlangan berkenaan, Ding Yuanzhao berasal dari wilayah Fujian di tenggara China digelar sebagai rider paling berpelajaran.

Sebelum menjadi penghantar makanan, Ding menjalankan penyelidikan pascakedoktoran di Universiti Nasional Singapura (NUS), namun kontraknya tamat pada Mac tahun lalu. 

Meskipun menghantar banyak permohonan dan menghadiri lebih 10 temuduga, beliau gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Akibat tekanan pasaran kerja, Ding mendaftar sebagai penghantar makanan di Singapura, dengan pendapatan sekitar SG$700 (RM2,400) seminggu hasil bekerja 10 jam sehari.

“Ia kerja yang stabil. Saya boleh menyara keluarga dan jika rajin, pendapatan pun baik. Tak ada yang salah dengan kerja ini,” katanya di media sosial.

Ding, yang juga peminat aktiviti larian, berkata kerja sebagai penghantar makanan membolehkan dia kekal aktif dan sihat. 

Bagaimanapun, dia mengaku tidak selesa menjadi tutor persendirian kerana malu untuk mencari pelanggan sendiri.

Beberapa bulan kemudian, Ding pulang ke China dan kini bekerja sebagai penghantar makanan untuk platform Meituan di Beijing.

Baru-baru ini, beliau menarik perhatian ramai apabila memuat naik video memberi kata semangat kepada pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan gaokao.

“Kalau keputusan anda tidak memuaskan, jangan kecewa atau putus asa. Jika bagus, ingatlah bahawa kebanyakan pekerjaan dalam dunia ini pun sebenarnya tidak banyak beza dari segi impaknya,” katanya.-Agensi

 

Artikel Lain