suria

Lelaki pakai ‘wig’ pink menyamar calon ‘exam’, larikan diri lepas aksi kantoi

Pelajar lelaki terbabit melarikan diri selepas identitinya hampir terbongkar.

SEORANG pelajar lelaki sebuah universiti didapati menyamar sebagai wanita bagi menduduki peperiksaan dalaman universiti.

Penyamarannya terbongkar selepas penampilan menggunakan rambut palsu berwarna merah jambu dan pelitup muka dilihat mencurigakan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 24 Jun lalu di China.

Berdasarkan hantaran tular, pengguna media sosial mendakwa dia mendengar seseorang telah ditangkap kerana menyamar sebagai calon peperiksaan.

"Saya mendengar seseorang telah ditangkap menyamar sebagai calon semasa peperiksaan perakaunan kanan pagi tadi? 

"Rupa-rupanya, lelaki itu berpakaian wanita," ujarnya ringkas.

Difahamkan, lelaki terbabit merupakan pelajar Universiti Ekonomi dan Undang-undang Zhongnan di Wuhan, wilayah Hubei.

Dia dipercayai menyamar selepas seorang pengawas peperiksaan memintanya menanggalkan rambut palsu.

Dia yang bimbang identiti terbongkar kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, identitinya dibongkarkan oleh seorang pelajar lain yang mengenali dirinya.

Sebagai tindak balas, universiti itu mengeluarkan kenyataan pada 25 Jun mengesahkan kejadian itu dan menggariskan tindakan tatatertib yang perlu diambil.

Menurut pengumuman itu, seorang pelajar perempuan bernama Li didakwa menugaskan lelaki yang ditemuinya melalui platform dalam talian untuk mengambil peperiksaan Perakaunan Lanjutan bagi pihaknya.

Menurut peraturan di Universiti Ekonomi dan Undang-undang Zhongnan mengenai salah laku pelajar, Li berdepan penyingkiran daripada status akademik. -Agensi

Artikel Lain