LAPAN sekeluarga terbunuh selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka merempuh dinding bangunan.
Lebih menyedihkan, salah seorang mangsa yang meninggal dunia adalah pengantin lelaki berusia 24 tahun.
Kemalangan melibatkan rombongan perkahwinan itu berlaku di Uttar Pradesh, India pada pukul 6.30 pagi, Jumaat.
Rombongan keluarga itu dalam perjalanan dari daerah Sambhal ke kampung pengantin perempuan di Sirtoul, Budaun.
Dua lagi ahli keluarga yang menaiki SUV itu terselamat.
Menurut Timbalan Ketua Polis (Selatan), Anukriti Sharma, SUV itu membawa muatan berlebihan dengan sepuluh penumpang, jauh melebihi kapasiti standard.
“Kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh dinding Janata Inter College sebelum ia terbalik," katanya.
Semua mangsa dibawa ke Pusat Kesihatan Komuniti Jewanai.
Rakaman orang awam menunjukkan serpihan kaca, kesan darah dan keadaan kenderaan itu yang remuk teruk. - Agensi.