suria

Lelaki tanpa alat sulit jalani pembedahan 10 jam, masa depan kembali cerah selepas dapat zakar baharu

Teknologi perubatan yang wujud membantu pesakit untuk kembali sembuh dan menjalani hidup normal. -Gambar hiasan AI

SATU prosedur perubatan yang mengagumkan telah dilaporkan dari Nagpur, India yang mana seorang pemuda seolah-olah mendapat peluang kedua untuk hidup selepas kehilangan zakarnya akibat kanser lapan tahun lalu. 

Dalam satu pencapaian luar biasa, doktor di Hospital Lata Mangeshkar berjaya 'membina' semula keseluruhan zakar pesakit itu dalam satu pembedahan selama 10 jam.

Ia juga boleh berfungsi sepenuhnya seperti lelaki normal.

Pembedahan kompleks ini, yang dianggap pertama seumpamanya di India tengah, melibatkan pemindahan kulit dan otot dari tangan pesakit untuk membentuk zakar baharu yang kemudian disambungkan ke bahagian kemaluan.

Pembedahan itu melibatkan penyambungan semula struktur badan yang kompleks bagi memastikan aliran darah yang baik, pemulihan sensitiviti saraf, serta pembentukan organ yang berfungsi. 

Salur darah dan saraf halus disambung dengan teliti sepanjang prosedur selama 10 jam itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Korek tapak bersejarah, ahli arkeologi jumpa perhiasan berbentuk zakar

Dalam pembedahan mikro-vaskular, tisu atau tulang diambil dari satu bahagian badan dan dipindahkan ke bahagian lain, dengan sambungan bekalan darah dilakukan secara teliti. 

Jika semua sambungan berjaya, organ atau tisu yang dipindahkan akan berfungsi secara normal. 

Teknik berkenaan kini digunakan secara meluas bukan sahaja dalam pembedahan kanser, malah dalam pembedahan plastik, ortopedik, pergigian dan saraf.

Hospital Lata Mangeshkar dilengkapi dengan mikroskop pembedahan canggih yang penting untuk prosedur rumit seperti pembinaan semula zakar secara mikro-vaskular. 

Teknologi ini merupakan kemajuan besar buat pesakit kanser, mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan kemaluan, serta individu yang memerlukan pemulihan zakar.

Dalam pada itu, Dekan hospital, Dr. Sajal Mitra, mengucapkan tahniah kepada pasukan di sebalik pembedahan luar biasa ini yang diketuai oleh Dr. Jitendra Mehta bersama Dr. Sameer Mahakalkar, Dr. Ashwini Panditrao, Dr. Dev Patel, Dr. Abhiram Mundle, Dr. Kanwarbir dan Dr. Pallavi. - Agensi.

 

Artikel Lain