suria

Lelaki pendiam ceroboh rumah rakan wanita lebih 20 kali... Tagih perhatian, geram mesej tak dibalas

Yuki Murai (kiri) menceroboh rumah rakan sekerjanya lebih 20 kali. -Foto Weixin

SEORANG lelaki ditahan polis selepas didapati menceroboh rumah rakan sekerja wanita sebanyak lebih 20 kali.

Lelaki berusia 27 tahun itu turut mengambil lebih 300 gambar dan mencuri beberapa barangan peribadi dalam usaha menarik perhatian wanita tersebut.

Suspek, Yuki Murai merupakan seorang pekerja pejabat di Tokyo, Jepun yang digambarkan sebagai pendiam dan tidak mempunyai ramai kenalan di tempat kerja.

Kejadian bermula kira-kira enam bulan lalu apabila seorang pembantu pentadbiran menyertai syarikat yang sama. 

Wanita itu cepat menjadi perhatian kerana penampilan menarik dan sikapnya yang lemah lembut.

Selepas bertemu dalam satu majlis makan malam syarikat, Murai mula menghantar mesej kepadanya dengan kerap, bertanyakan hal peribadi seperti makanan kegemaran dan haiwan peliharaan yang disukai.

Pada awalnya wanita itu membalas secara sopan, namun kemudian berhenti berinteraksi dengannya.

Murai mengaku kepada polis bahawa dia berasa dirinya seolah-olah dipermainkan apabila wanita itu berhenti membalas mesejnya.

Peluang untuk bertindak muncul apabila Murai bekerja lewat malam dan mengambil kesempatan menyelongkar beg tangan wanita itu ketika dia tiada di meja. 

Murai kemudian mengambil gambar kunci rumah mangsa, mencatat maklumat pengeluar dan nombor kunci sebelum membuat salinan menggunakan perkhidmatan pendua kunci secara dalam talian.

Dengan kunci pendua itu, Murai mula memantau rutin harian wanita tersebut dan mendapati dia sering keluar berjoging pada waktu malam.

Pada suatu malam hujung minggu, Murai masuk ke rumah mangsa buat kali pertama dan menjelajah ke seluruh rumah termasuk bilik tidur dan bilik mandi.

Sepanjang beberapa bulan berikutnya, Murai didapati menceroboh lagi rumah itu sekurang-kurangnya 20 kali.

Dia turut mengambil lebih 300 gambar menggunakan telefon bimbit, termasuk gambar mangsa, pakaian yang diletakkan di sofa dan juga kesan air di cermin bilik mandi. 

Beberapa helai pakaian turut dicuri sebagai kenang-kenangan.

Mangsa mula berasa curiga apabila mendapati kedudukan pakaian berubah dan terdapat kesan tapak kaki asing di lantai.

Dia segera menghubungi polis dan memasang kamera tersembunyi di rumahnya.

Ketika Murai kembali menceroboh, dia berjaya diberkas polis.

Polis Metropolitan Tokyo mengesahkan bahawa Murai telah ditahan pada 17 Jun atas tuduhan menceroboh dan mencuri.

Ketika disoal siasat, Murai mendakwa dia tidak berniat mencederakan mangsa dan hanya mahu wanita itu merasai kehadirannya kerana tidak lagi membalas mesejnya. -Agensi

 

Artikel Lain