suria

Bayi 13 bulan maut minum minyak hitam bercampur petrol… Bapa simpan lebihan cecair berbahaya dalam bekas makanan

Tindakan bapa mangsa menyimpan baki minyak hitam dan petrol ke dalam bekas makanan membawa padah apabila ia diminum anaknya. -Gambar hiasan AI

SEORANG bayi lelaki berusia 13 bulan maut selepas terminum campuran minyak hitam dengan petrol yang disimpan dalam bekas makanan di rumahnya.

Mangsa, Muhammad Aqilleo Hamdan, anak kepada pasangan Wananda Leo Tri Wahyudi dan Novianti, dilaporkan minum cecair berbahaya itu pada pagi Rabu selepas menganggap ia minuman.

Kejadian dilaporkan berlaku Kecamatan Ketanggi, Ngawi di Indonesia.

Menurut datuk mangsa, Hariono, kejadian berlaku selepas bapa mangsa membaiki motosikal dan menyimpan baki minyak hitam dan petrol ke dalam bekas makanan.

Katanya, mangsa dipercayai sedang bermain dan tanpa disedari telah minum cecair beracun itu.

Bayi 13 bulan diberikan rawatan kecemasan di Hospital Soeroto Ngawi sebelum meninggal dunia. - Foto NTVBayi 13 bulan diberikan rawatan kecemasan di Hospital Soeroto Ngawi sebelum meninggal dunia. - Foto NTV

"Kelmarin botol susunya bocor, jadi susu dituang ke dalam bekas makanan supaya tak tumpah.

"Budak kecik tu suka main, jadi semalam dia sangka itu susu dan meminumnya," katanya pada Khamis.

Mangsa kemudian mengalami kesakitan yang teruk sehingga tidak sedarkan diri dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Soeroto Ngawi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Ngawi, Aris Gunadi memaklumkan pihaknya telah ke hospital dan mengambil keterangan beberapa saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mayat mangsa selesai menjalani proses bedah siasat dan dibawa pulang ke rumah keluarganya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan awam di Mukim Ketanggi. -Agensi

Artikel Lain