suria

Rusia lancar serangan udara terbesar ke atas Ukraine… Guna 550 dron, peluru berpandu

Keadaan bandar Kyiv yang menerima serangan 550 dron dan peluru berpandu dari Rusia. -Foto Reuters

UKRAINE berdepan serangan udara terbesar oleh Rusia sejak perang bermula, apabila sebanyak 550 dron dan peluru berpandu dilancarkan ke negara itu dalam satu serangan bersepadu pada Khamis malam, menurut Tentera Udara Ukraine.

Serangan itu mengatasi rekod terdahulu pada 29 Jun, iaitu 537 serangan udara yang berlaku dalam satu malam.

Bandar raya Kyiv menjadi sasaran utama dalam serangan sepanjang malam itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang cedera, merosakkan infrastruktur kereta api dan menyebabkan kebakaran di beberapa kawasan di ibu negara.

Amaran serangan udara kekal aktif selama lebih lapan jam sebelum ditamatkan sekitar pukul 5 pagi waktu tempatan.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, memaklumkan bahawa kerosakan direkodkan di enam daripada 10 daerah bandar itu.

Serpihan dron yang ditembak jatuh turut menyebabkan sebuah pusat perubatan terbakar.

Selain Kyiv, beberapa wilayah lain turut menjadi sasaran dalam serangan besar-besaran berkenaan.

Di bandar Poltava, dron yang ditembak jatuh telah merosakkan harta benda dan sebuah kenderaan, mengakibatkan dua orang cedera.

Serangan ini berlaku hanya beberapa jam selepas satu panggilan telefon dibuat antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Dalam perbualan itu, Putin menegaskan bahawa Rusia akan terus meneruskan misinya di Ukraine, walaupun terdapat desakan daripada negara-negara Barat supaya menghentikan peperangan dan memulakan gencatan senjata. -Agensi

Artikel Lain