SEORANG lelaki warga China terkejut apabila pemeriksaan perubatan mendedahkan bahawa sudu sepanjang 15 sentimeter (cm) berada dalam tubuhnya selama hampir enam bulan.
Lelaki berusia 29 tahun itu yang dikenali sebagai Yan, mendapatkan rawatan di Hospital Zhongshan, Shanghai selepas mengalami ketidakselesaan pada bahagian perut.
Dia pada mulanya mengesyaki tertelan plastik semasa menikmati makanan yang dibungkus dari kedai makan.
Namun begitu, hasil imbasan perubatan menemui sesuatu yang jauh lebih mengejutkan iaitu sebatang sudu seramik!
Sudu tersebut tersekat di dalam duodenum, iaitu bahagian pertama usus kecil.
Menurut doktor, kedudukan sudu tersebut amat berbahaya, kerana sebarang pergerakan kecil boleh menyebabkan usus berlubang, seterusnya membawa kepada keradangan atau pendarahan dalaman yang serius.
Menurut Yan, dia mengesyaki kejadian berkenaan berlaku ketika dia bercuti di Thailand pada Januari lalu.
Dalam keadaan mabuk di bilik hotel, dia cuba menggunakan sudu kopi untuk memaksa dirinya muntah dan tanpa disedari, sudu tersebut 'meluncur' masuk ke dalam kerongkong.
Yan kemudian terus tidak sedarkan diri dan apabila bangun keesokan harinya, dia menyangka semua itu hanyalah mimpi.
Anehnya, sepanjang enam bulan selepas pulang ke Shanghai, Yan tidak berdepan sebarang gejala yang mencurigakan, sebaliknya dia hanya mengalami ketidakselesaan perut dan menganggap ia adalah disebabkan muntah.
Pada 18 Jun lalu, Yan menjalani pembedahan endoskopik untuk mengeluarkan sudu berkenaan.
Pembedahan berlangsung selama 90 minit dan sudu tersebut berjaya dikeluarkan tanpa komplikasi serius. -Agensi


