suria

Ketua menteri tak jadi nak rasmi, jambatan selekoh 90 darjah teruk dikritik... 7 jurutera JKR digantung tugas

Rekaan jambatan baharu di Aishbagh, India yang mendapat kritikan hebat warga maya dan penduduk tempatan. -Foto NDTV

SERAMAI tujuh jurutera digantung tugas susulan kontroversi berkaitan pembinaan jambatan baharu yang direka dengan selekoh tajam 90 darjah.

Pembinaan Jambatan Rel Atas (ROB) di kawasan Aishbagh, dekat Madhya Pradesh, India itu menjadi bahan kritikan hebat daripada penduduk tempatan dan pengguna media sosial yang mempersoalkan kewajaran selekoh 'tidak masuk akal' dalam reka bentuknya. 

Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav berkata, penggantungan tujuh jurutera berkenaan turut melibatkan dua ketua jurutera dari Jabatan Kerja Raya.

Mohan dalam satu kenyataan di platform X berkata, beliau mengesan kecuaian serius dalam pembinaan jambatan tersebut dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.

"Berdasarkan laporan siasatan, tindakan telah diambil terhadap lapan jurutera. Tujuh daripada mereka telah digantung kerja serta-merta, manakala seorang jurutera penguasa yang telah bersara akan disiasat oleh jabatan secara dalaman," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi pembinaan serta firma perunding reka bentuk turut disenaraihitamkan.

Kerajaan negeri juga menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menilai semula dan mencadangkan penambahbaikan ke atas reka bentuk sedia ada.

"Jambatan ini hanya akan dirasmikan selepas penambahbaikan yang diperlukan dilaksanakan," tegas beliau.

Projek jambatan yang menelan kos sebanyak 180,000,000 juta Rupee (kira-kira RM8.9 juta) itu dibina untuk meningkatkan ketersambungan antara kawasan Mahamai Ka Bagh, Pushpa Nagar dan stesen kereta api dengan kawasan New Bhopal, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penduduk. -Agensi

Artikel Lain