suria

Sembunyi mayat dalam peti sejuk, tabur pasir kucing elak dikesan…. Pembunuh Twitter akhirnya ke tali gantung!

Hukuman gantung biasanya dikenakan terhadap tertuduh yang didapati bersalah kerana membunuh. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki yang dikenali sebagai 'pembunuh Twitter' dihukum gantung pada Jumaat selepas membunuh dan mencincang sembilan mangsa yang ditemuinya.

Lelaki berusia 34 tahun itu membunuh lapan lelaki dan seorang wanita yang dihubunginya menerusi platform media sosial iaitu Twitter atau kini dikenali sebagai X.

Shiraishi menyasarkan pengguna yang berkongsi niat untuk membunuh diri di media sosial, dengan memberitahu mangsa bahawa dia boleh membantu atau mati bersama mereka.

Menteri Kehakiman, Keisuke Suzuki, menyatakan bahawa jenayah Shiraishi, yang dilakukan pada 2017 itu termasuk rompakan, rogol, pembunuhan, pemusnahan mayat dan pembuangan mayat.

Shiraishi dijatuhi hukuman mati pada 2020 atas pembunuhan sembilan mangsanya, yang berumur antara 15 hingga 26 tahun.

Setelah memancing mangsa ke rumahnya berhampiran ibu kota, dia kemudian bertindak membunuh mereka.

Dia kemudian menyembunyikan bahagian tubuh mangsa di dalam peti sejuk dan kotak peralatan yang ditaburkan dengan pasir kucing untuk menyembunyikan bukti.

Peguamnya berhujah bahawa Shiraishi sepatutnya hanya dihukum penjara dan bukannya hukuman mati kerana mangsanya menyatakan niat untuk membunuh diri.

Walau bagaimanapun, hakim menolak hujah tersebut, menyifatkan jenayah Shiraishi sebagai licik dan kejam.

Pembunuhan mengerikan itu terbongkar pada musim luruh 2017 apabila polis menyiasat kehilangan seorang wanita berusia 23 tahun yang dilaporkan memuat naik ciapan tentang keinginan untuk membunuh diri.

Abang mangsa mendapat akses kepada akaun Twitter wanita itu dan akhirnya membawa polis ke kediaman Shiraishi, di mana penyiasat menemui sembilan mayat yang dicincang.-Agensi

Artikel Lain