suria

Lima penjenayah menyamar jadi polis silap sasaran, culik tukang masak pokai... Dalam poket hanya ada RM2.80!

Hukuman berat menanti penjenayah kes culik. -Gambar hiasan

SEORANG ejen hartanah bersama empat rakannya ditahan selepas menyamar sebagai polis dan menculik tukang masak sebuah restoran.

Tujuan mereka menculik untuk memeras ugut mangsa yang kononnya terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Bagaimanapun, mereka melepaskan mangsa selepas mendapati dia hanya mempunyai ₹50 (kira-kira RM2.80) dan sebuah telefon bimbit.

Kejadian berlaku di Malviya Nagar, Delhi di India.

Menurut polis, kelima-lima suspek ditahan selepas mangsa yang dikenali sebagai Joshua Hmar, 30, membuat laporan dia diculik 'polis' pada 16 Jun ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Ketika berada berhampiran sebuah farmasi, sebuah kereta berhenti dan lima lelaki yang berpakaian seperti polis mendakwa mereka sedang melakukan serbuan mengejut bagi membanteras pengedaran dadah,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis (Barat Daya), Amit Goel.

Salah seorang suspek, dikenali sebagai Parvesh, memakai t-shirt putih berlogo dan bertulis Delhi Police, iaitu pakaian yang biasa digunakan oleh polis pelatih dan pasukan sukan polis.

Kelima-lima suspek kemudiannya menarik Hmar masuk ke dalam kereta atas alasan untuk disoal siasat, dan memandu sekitar setengah jam di kawasan selatan Delhi sambil mengugut akan menangkapnya jika tidak membayar wang sogokan.

"Mangsa memberitahu bahawa dia bukan pengedar dadah, sebaliknya hanya seorang tukang masak dan hanya mempunyai ₹50 dengannya. 

"Setelah yakin, mereka menurunkan mangsa di satu kawasan sunyi di Munirka dan melarikan diri," katanya.

Melalui siasatan dan maklumat perisikan, polis berjaya mengesan kenderaan yang digunakan dan mengenal pasti pemiliknya, sebelum menahan Parvesh.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan empat lagi rakannya.

Polis turut mendedahkan bahawa kumpulan itu telah melakukan dua lagi penculikan menggunakan modus operandi yang sama sebelum ini, namun tiada laporan dibuat oleh mangsa-mangsa terdahulu. -Agensi

Artikel Lain