suria

Ingatkan sakit perut akibat terlebih makan, wanita tak sedar rupanya hamil! Siap tunggang basikal elektrik ke hospital seorang diri

Wanita ini dikejarkan ke jabatan obstetrik selepas mengalami proses pengecutan rahim.

SEORANG wanita tidak menyangka rasa sakit perut yang dialami selepas makan tengah hari adalah tanda-tanda untuknya melahirkan bayi.

Malah dia juga menunggang basikal elektriknya secara bersendirian menuju ke hospital sebelum disahkan hamil dan melahirkan bayi lelaki, sejam kemudian.

Insiden luar biasa yang berlaku di Ezhou, wilayah Hubei, di China pada 16 Jun lalu, kemudiannya menjadi topik hangat di media sosial.

Berdasarkan perkongsian, wanita yang dikenali sebagai Li pada awalnya meluahkan rasa tidak selesa pada bahagian perut.

Pada masa itu dia baru sahaja menikmati makan tengah hari.

Beranggapan dia telah makan berlebihan, wanita berkenaan kemudiannya menunggang basikal elektrik seorang diri ke hospital pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun semasa menjalani pemeriksaan ultrasound, rasa sakit di bahagian perutnya bertambah teruk.

Dia juga mengalami pengecutan rahim yang kerap disebabkan air ketuban sudah pecah.

Susulan itu, dia dirujuk ke jabatan obstetrik dan dilapor melahirkan bayi lelaki seberat 2.5 kilogram pada pukul 3.22 petang.

Untuk rekod, wanita ini mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Dia juga tidak mengalami sebarang gejala kehamilan biasa seperti kandungan pertama. -Agensi

Artikel Lain