suria

Nak tutup kes, polis minta gadis mangsa rogol nikahi perogol… Lepas sehari kahwin terus kena cerai!

Mangsa rogol mengalami trauma berpanjangan. -Gambar hiasan

SEORANG penuntut universiti menjadi mangsa rogol kepada guru agama di rumah neneknya pada 9 April lalu.

Menurut peguam mangsa, Gary Gagarin, lelaki yang dikenali sebagai J mempunyai hubungan kekeluargaan dengan gadis berusia 19 tahun itu mengikuti mangsa ke rumah neneknya bagi meraikan Aidilfitri.

Kejadian berlaku di Kecamatan Majalaya di Karawang, Indonesia.

"Mangsa bertemu dengan J dan bersalaman, selepas itu dia tidak sedarkan diri dan dibawa ke bilik sebelum dirogol.

"Nenek mangsa yang melihat kejadian itu menahan suspek dan memanggil penduduk kampung untuk menangkap J," kata Gary pada Jumaat.

Gary menyatakan mangsa hanya sedarkan diri setelah berada di klinik, manakala J dibawa ke Balai Polis Majalaya.

Pihak polis yang menjadi orang tengah meminta kes berkenaan diselesaikan dengan cara baik.

Perjanjian itu mengandungi kenyataan bahawa J bersedia mengahwini mangsa dan kedua-duanya pihak tidak akan mengambil tindakan undang-undang antara satu sama lain di masa hadapan.

Gary melahirkan kekecewaan kerana Polis Majalaya tidak merujuk kes itu kepada Unit Perlindungan Perempuan dan Anak Polis Karawang.

Beliau juga mendakwa terdapat tekanan terhadap keluarga mangsa untuk berkahwin atas alasan menjaga nama baik kampung.

"Tidak masuk akal berkahwin kemudian diceraikan esoknya. Penguat kuasa undang-undang jangan biarkan ia menjadi kebiasaan bagi pesalah yang melakukan keganasan seksual untuk mengahwini mangsa," tegas Gary.

Sehingga kini, Gary berkata, J masih menjalani aktiviti hariannya seperti biasa sebagai seorang guru.

Sementara mangsa terus berjuang menuntut keadilan bagi dirinya. -Agensi

Artikel Lain