suria

Beg sandang bawah ‘seat’ penumpang basah, wanita dakwa 99 peratus kena air kencing... "Tisu bertukar warna kuning"

Penumpang pesawat ini mendakwa beg sandangnya terkena air kencing semasa penerbangan.

SEORANG penumpang pesawat syarikat penerbangan Frontier Airlines mendakwa beg sandang yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang di hadapannya, dibasahi air kencing.

Dakwanya lagi, kru penerbangan juga enggan menerima laporan seolah-olah memandang remeh terhadap aduannya.

Dia yang kesal dengan insiden berlaku kemudiannya membuat hantaran di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.

Menurut wanita ini, kejadian berlaku semasa pesawat berkenaan dalam perjalanan di Seattle-Dallas pada awal Jun lalu.

Ujarnya, sepanjang penerbangan, beg galas disimpan di bawah tempat duduk di hadapannya dan hanya mengambilnya apabila tiba di destinasi.

"Awalnya beranggapan beg basah disebabkan air atau soda, tetapi tisu bertukar warna kuning semasa cuba mengeringkannya di dalam bilik air," katanya.

Kesan kekuningan itu membuatkan dia 99 peratus yakin bahawa beg sandangnya terkena air kencing.

Dia kemudian melaporkan kejadian yang berlaku kepada kru penerbangan, namun malangnya kakitangan pesawat berkenaan enggan menerima aduan dan memintanya terus ke kaunter tiket.

Pada masa sama, wanita ini turut membawa tisu yang berwarna kuning sebagai bukti ketika membuat aduan.

Menurut wanita ini, selepas dibawa bertemu dengan pengurus besar, dia dimaklumkan bahawa syarikat penerbangan Frontier tidak dapat menangani isu yang berlaku.

Malah sebaliknya, dia diminta untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan penumpang terlibat.

Dalam pada itu, The Post menghubungi syarikat penerbangan itu untuk mendapatkan ulasan.

Mereka dimaklumkan bahawa syarikat penerbangan tidak akan bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku kerana tidak termasuk dalam terma syarat yang ditetapkan.

“Frontier tidak akan bertanggungjawab ke atas kehilangan atau kerosakan pada bagasi bawaan (penumpang).

"Ia melainkan kerosakan tersebut disebabkan oleh kecuaian Frontier atau ejennya, yang tidak termasuk kerosakan akibat pergolakan, pemindahan barang semasa penerbangan, atau pengendalian biasa, termasuk meletakkan bagasi di petak atas atau di bawah tempat duduk,” jelas syarikat terbabit. -Agensi

Artikel Lain