RAKAMAN video tular yang memaparkan seorang suami menyerahkan isterinya kepada teman lelaki wanita itu, meraih simpati warga maya.
Lebih menambah rasa pilu apabila si suami kelihatan tenang semasa bersalaman dengan lelaki terbabit sambil meninggalkan pesanan supaya menjaga isterinya dengan baik.
Tindakannya itu disaksikan penduduk kampung yang turut hadir di rumah lelaki berkenaan.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram @feedgramindo pada Isnin [Tonton Video], wanita terbabit dipercayai menjalin hubungan intim bersama seorang lelaki berstatus suami orang.
Susulan terbongkarnya perbuatan sumbang mereka, wanita terbabit dibawa ke rumah lelaki berkenaan sambil disaksikan beberapa orang penduduk kampung.
Teman lelaki wanita itu memohon maaf sambil berpelukan.
Dia kemudian diceraikan suaminya serta merta.
”Kau aku talak, jadi aku pun tidak menyangka, kau tidak ada hak lagi, kau aku cerai,” ujar suaminya dalam nada sebak sambil saling bersalaman.
Susulan lafaz talak berkenaan, wanita terbabit dilihat menangis teresak-esak.
Si suami kemudiannya berpusing dan bersalaman pula dengan lelaki yang didakwa menjalin hubungan dengan isterinya.
”Aku serahkan isteri aku kepada kau ya, kau jaga baik-baik, jangan sampai kau melakukan hal yang tidak diinginkan.
"Nikahilah dia dengan tanggungjawab zahir dan batin,” katanya kepada lelaki terbabit.
Individu tersebut kemudiannya meminta maaf atas perbuatan yang dilakukan dan memeluk suami wanita berkenaan. -Agensi