SEORANG wanita mengalami kecederaan teruk di bahagian tekaknya apabila tulang ikan yang tersangkut di kerongkong kemudiannya menembusi bahagian luar leher selepas dua minggu.
Situasi yang dialami membuatkan wanita berusia 45 tahun ini terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tulang sepanjang dua sentimeter.
Kisah itu dikongsikan suaminya Suriyan Bubpha-art, 43, di laman Facebook demi memberi peringatan kepada orang ramai.
Menurut lelaki itu, kejadian berlaku ketika isterinya sedang menikmati semangkuk sup ikan.
Dia yang leka menghirup sup tidak menyangka terdapat tulang tajam di daging perut sebelum terus menelannya.
Ekoran itu, dia tiba-tiba meluahkan rasa sakit seperti ditusuk pada bahagian tekak.
Tambah Suriyan, mereka pada awalnya mencuba kaedah tradisional iaitu menelan makanan dalam kuantiti yang banyak.
Namun ia gagal mengeluarkan tulang berkenaan dari tempat ia tersangkut.
Susulan itu, mereka cuba mencabutnya menggunakan jari.
Tindakan itu menyebabkan tulang berkenaan termasuk ke bahagian yang lebih dalam sehingga berlaku keradangan pada tekak.
Apabila usaha dilakukan tidak berjaya, mereka berdua mendapatkan rawatan di hospital.
Bagaimanapun, doktor tidak dapat mengesan tulang menerusi sinar x-ray dan menganggap ia sudah melalui sistem pencernaan.
Namun, dalam tempoh dua minggu berikutnya isteri Suriyan mengalami gejala yang lebih teruk seolah-olah mengalami keradangan tiroid.
Mereka sekali lagi mendapatkan rawatan di hospital, namun hanya diberikan ubat-ubatan.
Disebabkan mengalami kesakitan yang melampau, isterinya meletakkan tampalan penahan sakit pada leher.
Pada hari kedua menggunakan tampalan itu, tulang ikan kelihatan muncul di leher isterinya.
Mereka kemudiannya bergegas ke Hospital Bueng Sam Phan di wilayah Phetchabun, di mana x-ray mengesahkan kehadiran tulang ikan itu.
Isterinya segera menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tulang ikan berkenaan.
Doktor berkata ia adalah kes pertama seumpamanya yang mereka hadapi. -Agensi