suria

[V] Duduk bertentangan, berpeluk erat atas motosikal... Pasangan kekasih didenda RM3,000

Pasangan kekasih disaman polis trafik kerana bermesra di atas motosikal.

RAKAMAN tular memaparkan aksi pasangan kekasih bermesra atas motosikal di lebuh raya mengakibatkan mereka didenda polis trafik, pada Ahad.

Berdasarkan video berdurasi lima saat itu [Tonton Video], seorang lelaki dilihat menunggang motosikal dengan laju, manakala seorang wanita muda duduk di tangki minyak motosikal dengan memeluk lelaki itu dari arah depan.

Kaki pembonceng wanita itu pula melilit pinggang lelaki itu dengan kedua-dua mereka tidak memakai topi keledar.

Ia bukan babak dalam filem tetapi berlaku di Lebuhraya Noida-Greater Noida di India dengan motosikal tersebut menggunakan nombor pendaftaran Delhi.

Susulan kejadian, Polis Trafik Noida telah mengeluarkan saman berjumlah ₹53,500 (RM3,000) kepada pasangan itu kerana melakukan aksi bahaya di atas motosikal yang sedang bergerak.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Trafik, Gautam Buddh Nagar, Lakhan Singh Yadav berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui sebuah video media sosial yang menunjukkan penunggang dan pembonceng melanggar peraturan lalu lintas. 

Yadav mengesahkan saman telah dikeluarkan.

"Selepas meneliti video yang tular itu, kami turut mengesahkannya melalui kamera pemantau yang dipasang di sepanjang Lebuhraya Noida-Greater Noida.

"Saman dikeluarkan kerana mereka melanggar Seksyen 181, 184, 184A dan 194D di bawah Akta Kenderaan Bermotor.

"Seksyen-seksyen ini melibatkan kesalahan seperti memandu tanpa lesen, pemanduan berbahaya, ingkar arahan pihak berkuasa, dan menunggang tanpa topi keledar," tambahnya.

Katanya, pihaknya telah mengarahkan polis trafik mengambil tindakan tegas terhadap pasangan terbabit. 

"Kami juga menyeru orang ramai agar tidak melakukan aksi berbahaya seperti ini di atas mana-mana kenderaan,” kata Yadav lagi.-Agensi

Artikel Lain