SIAPA kata cinta zaman kanak-kanak yang sering dianggap 'cinta monyet' tidak boleh ke jenjang pelamin?
Pasangan muda ini membuktikan persepsi itu tidak benar apabila cinta mereka sejak di bangku sekolah rendah berakhir dengan perkahwinan.
Kisah itu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik oleh pengguna TikTok @yk.arin, dipercayai dari Indonesia.
Dalam hantaran video berdurasi beberapa saat itu [Tonton Video], pasangan berkenaan berkongsi beberapa foto yang memaparkan perjalanan cinta dari zaman kanak-kanak hingga ke hari bahagia mereka.
Gambar-gambar tersebut menunjukkan mereka bersama sejak di sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, sehinggalah ke majlis perkahwinan.
Video tersebut disertakan dengan kata-kata menyentuh hati dan keikhlasan dalam menjalinkan perhubungan.
"Saya berkahwin dengan cinta pertama saya! Tiada kisah paling indah selain kisah kasih di sekolah," katanya.
Perkongsian itu menerima ratusan ribu tanda suka dan komen serta mendapat lebih dua juta tontonan TikTok.
"Dari sekolah rendah! Bayangkan dari sekolah rendah!
“Jangan pandang rendah cinta budak sekolah rendah,", kata warga maya.
Ramai juga yang meninggalkan doa serta kata-kata semangat untuk pasangan muda tersebut.
"Bayangkan berapa banyak kali mereka saling minta maaf, berapa kali mereka turunkan ego demi kekal bersama hingga ke jenjang pelamin.
"Semoga rumah tangga mereka diberkati dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah,” tulis seorang pengguna TikTok.
Kisah ini dianggap bukti bahawa cinta pertama tidak semestinya berakhir dengan kekecewaan.
Dengan kesabaran, kepercayaan, dan saling memahami, cinta zaman kanak-kanak juga mampu menjadi kisah cinta sejati yang memberi inspirasi kepada orang ramai. -Agensi