ISRAEL melancarkan serangan udara ke atas ibu pejabat stesen televisyen, Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) di tengah Tehran pada Isnin.
Rakaman video dimuat naik di media sosial [Tonton Video] menunjukkan bangunan stesen televisyen milik kerajaan itu terkena bedilan peluru berpandu ketika siaran langsung berita yang ketika itu disampaikan oleh Sahar Emami.
Video itu turut memaparkan studio diselubungi debu dan asap tebal ketika pembaca berita berkenaan cuba melarikan diri untuk mencari tempat berlindung.
Media kerajaan mengesahkan serangan berkenaan dan menyalahkan Rejim Zionis.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga pekerja IRIB.
"Tiga pekerja stesen televisyen terbunuh, manakala beberapa lagi cedera dalam serangan Israel pada Isnin,” kata IRIB.
Serangan itu dilancarkan selepas Menteri Pertahanan Israel, Katz memberi amaran bahawa saluran media Iran akan menjadi sasaran mereka.
“Megafon propaganda dan hasutan Iran hampir lenyap,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad sambil menambah penduduk berhampiran digesa untuk berpindah.
Serangan itu membedil daerah Tehran yang menempatkan beberapa pejabat diplomatik dan antarabangsa termasuk kedutaan Qatar, Oman dan Kuwait serta bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-Agensi


