suria

[V] Tak peduli anak meraung, bapa tetap paksa anak ‘bertenggek’ belakang singa! Dua kali cuba nasib demi foto kenangan

Kanak-kanak lelaki menangis selepas dipaksa bergambar bersama singa.

TULAR satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memaksa anaknya bergambar dengan seekor singa dewasa.

Aksinya itu mengundang rasa marah warga maya berikutan kanak-kanak terbabit bukan sahaja enggan, malah menangis ketakutan semasa diletakkan di atas belakang singa berkenaan.

Menerusi klip video perkongsian laman Instagram Bad Parenting TV [Tonton Video] itu, haiwan tersebut juga kelihatan marah dengan situasi yang berlaku.

Malah, singa berkenaan bergerak memusingkan badan selepas percubaan kedua si bapa meletakkan anaknya.

Gerakan spontan itu membuatkan lelaki terbabit mengangkat anaknya menjauhi haiwan tersebut sambil tersenyum.

Difahamkan, tindakannya itu dilakukan demi mendapatkan sekeping gambar kenangan anaknya bersama haiwan pemangsa berkenaan.

Susulan itu, beberapa pengikut laman Instagram meminta tindakan tegas dikenakan terhadap bapa kanak-kanak lelaki terbabit.

"Anda meletakkan nyawa anak dalam bahaya semata-mata untuk gambar? Semua orang memerlukan kursus keibubapaan sebelum melahirkan anak.

"Dia sepatutnya ditangkap kerana membahayakan kanak-kanak. Selain itu kanak-kanak ini harus diambil daripada jagaan ibu bapanya. Ibu bapa Physcopat," demikian reaksi netizen.

Dalam pada itu, keadaan singa dewasa berkenaan turut menjadi perhatian ramai.

Kebanyakannya meluahkan rasa simpati kerana haiwan tersebut dijadikan 'boneka' dan hiburan. 

"Betapa kejamnya, singa harus bebas di alam semula jadi dan tidak digunakan sebagai ‘alat’ untuk bergambar.

"Saya harap singa itu tidak memakan bayi itu kerana saya tahu dia akan dipersalahkan kerana memakannya," tambah warga maya. -Agensi

Artikel Lain