TIGA pemuda yang menunggang kuda sejauh lebih 8,000 kilometer (km) selamat tiba di Makkah pada Selasa bagi menunaikan ibadah haji.
Perjalanan yang mengambil masa lebih tujuh bulan itu bertujuan menghidupkan semula tradisi umat Islam Andalusia serta melaksanakan ibadah haji dengan penuh makna dan pengorbanan.
Mereka memulakan perjalanan dari Sepanyol dengan menunggang kuda merentasi 13 buah negara iaitu Perancis, Itali, Slovenia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro, Kosovo, Macedonia Utara, Bulgaria, Greece, Turkiye, Syria dan Jordan.
Abdallah Hernandez, Abdelkader Harkassi dan Tariq Rodriguez tiba di Makkah selepas lebih 200 hari perjalanan.
Menurut Rodriguez, matlamat utama mereka bukan sahaja untuk menunaikan ibadah haji tetapi juga mahu membuktikan bahawa keimanan dan kepercayaan kepada Allah mampu mengatasi segala cabaran.
“Kami ingin menelusuri laluan sejarah umat Islam Andalusia 500 tahun lalu. Perjalanan ini membuktikan bahawa dengan tawakal kepada Allah, segala-galanya adalah mungkin,” katanya.
Rodriguez yang pertama kali menunaikan haji berkata dia sangat tersentuh apabila melihat Kaabah buat kali pertama.
“Saya tak mampu ungkapkan dengan kata-kata. Seolah-olah Kaabah selama ini terlalu jauh untuk dicapai, tetapi kini kami menyentuhnya," katanya.
Kuda-kuda mereka kini ditempatkan di sebuah pusat kuda di Riyadh, sementara mereka akan pulang ke Eropah menaiki kapal terbang berikutan kekangan peraturan antarabangsa.
Hernandez yang telah menyimpan impian perjalanan ini selama 36 tahun menyifatkan pengembaraan itu sebagai satu perjalanan yang penuh dengan keajaiban.
“Setiap dugaan adalah ujian dari Allah. Ada masa kami hampir menyerah, tetapi dengan izin-Nya, kami teruskan juga,” katanya.
Hernandez turut menyifatkan Bosnia dan Herzegovina sebagai antara tempat tercantik yang mereka lalui, dan berkongsi persamaan budaya antara Turkiye dan Sepanyol.
Dia menambah, perjalanan ini bukan sahaja menghidupkan semula tradisi Islam di Sepanyol, tetapi juga membuka pandangan baru masyarakat terhadap Islam dan haji.
“Kami ingin buktikan bahawa umat Islam boleh bersatu untuk tujuan yang mulia. Kami tiba di Makkah, menyentuh Kaabah, dan menyaksikan sendiri keajaiban Allah," katanya
Harkassi turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan serta rakyat di setiap negara yang mereka masuk atas sokongan yang diberikan.
“Kami berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang jalan, dan kami juga belajar dari mereka yang kami temui. Allah sentiasa membuka jalan buat kami. Tiada yang mustahil bagi-Nya," katanya.-Agensi


