suria

Lelaki menyamar wartawan tipu peluang pekerjaan kepada lebih 100 individu

Orang ramai perlu berhati-hati dengan tawaran kerja atas talian. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki ditahan polis selepas menyamar sebagai wartawan dan menipu lebih 100 individu dengan menjanjikan peluang pekerjaan di syarikat multinasional terkenal.

Tangkapan lelaki berusia 36 tahun itu dibuat pada Khamis susulan laporan polis yang diterima pada 26 April lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Gautam Buddh Nagar di India.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Noida Tengah, Shakti Mohan Avasthy, berkata suspek dikenali sebagai Wasim Ahmed dan berasal dari Bijnor.

"Polis merampas lebih 200 kad lawatan, borang temuduga, dokumen berkaitan pekerjaan, dua telefon bimbit dan sebuah kereta Wagon R dari suspek.

"Berdasarkan maklumat risikan tempatan, kami berjaya menahan suspek,” tambah Avasthy.

Siasatan polis mendapati Ahmed menggunakan pelbagai identiti palsu seperti Ravindra Sharma, Kapil Bhati, Piyush Bhati, Rohit Kumar, Rohit Chandela dan Rahul Bhati untuk melakukan  penipuan.

Dalam tempoh enam bulan, Ahmed menjalankan operasi penipuannya dari sebuah pejabat di Sektor-81, Noida. 

Dia menggaji dua wanita sebagai pekerja, masing-masing dibayar 12,000 rupee (RM700) sebulan dan memperdaya golongan belia menganggur dengan menjanjikan pekekerjaan di syarikat seperti Samsung, Oppo, Vivo, Haier, LG dan lain-lain.

Menurut polis, suspek turut mengendalikan saluran YouTube yang digunakan untuk mengiklankan kekosongan jawatan palsu. 

“Dia akan mengenakan bayaran pendaftaran, menjalankan temuduga palsu, kemudian mengeluarkan surat tawaran kerja palsu kononnya dari syarikat-syarikat ternama,” jelas Avasthy.

Apabila mangsa menyedari mereka tidak mendapat pekerjaan seperti dijanjikan dan cuba menghubungi Ahmed, dia akan mematikan telefonnya. 

Jika mangsa datang ke pejabat, dia akan mengugut mereka dengan mendakwa dirinya wartawan.-Agensi

Artikel Lain