suria

Bersungguh meratap, tangisi kematian... Rupa-rupanya diri sendiri jerut isteri sampai mati

Suspek kes bunuh berpura-pura sedih dengan kematian isterinya.

PERBUATAN keji seorang lelaki yang membunuh isteri dengan berpura-pura menjadi mangsa samun akhirnya terbongkar selepas tiga hari kejadian berlaku.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.30 pagi Ahad lalu itu, jiran mangsa datang ke rumah selepas mendengar jeritan anaknya meminta tolong.

Jiran tetangga datang menenangkan anak mangsa sebelum mayat wanita berusia 35 tahun dikenali Petri Sihombing ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kepala terikat.

Penduduk turut mendapati suaminya, Wadison Pasaribu, 37, berada di dalam guni dengan kesan lebam di kepala dalam kejadian di Kota Serang di Banten, Indonesia.

Selepas menenangkan anak mangsa, penduduk membawa Wadison ke hospital dan kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.

Polis tiba di lokasi kejadian pada 5.30 pagi dan mengesyaki berlaku kes rompakan serta bunuh selepas mendapati terdapat barangan kemas yang hilang.  

Namun, selepas siasatan lanjut dan menerima maklumat daripada ahli keluarga, polis mengesyaki pelaku pembunuhan itu sebenarnya ialah suami mangsa.

Ketua Polis Kota Serang, Pesuruhjaya Senior Yudha Satria berkata Wadison kemudiannya ditahan polis pada Selasa lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat yang dikumpul, kes berlaku selepas isterinya mendapati Wadison sedang berbual mesra melalui telefon bimbit dengan seorang wanita.

Mangsa yang cemburu kemudian bertanya mengenai perbualan berkenaan, namun Wadison menjadi emosi dan menjerut leher isterinya dengan tali sehingga mati.

Wadison yang panik 'mencipta' satu kejadian rompakan di rumahnya dan menjadikan dirinya serta isteri sebagai mangsa.

Dia turut mencampakkan barang kemas isterinya ke dalam tandas bagi membuktikan kejadian rompakan dan pembunuhan itu.

Malah, ketika melihat jenazah isterinya di tanah perkuburan, Wadison dikatakan menangis.

Selepas pengebumian, ahli keluarga berbual-bual dan bertanyakan kronologi kejadian rompakan tersebut.

Pada mulanya, Wadison menceritakan kisah itu dengan lancar tetapi apabila bercakap dengan ahli keluarga yang lain, ceritanya sering berubah dan menimbulkan rasa curiga. 

Wadison akhirnya mengakui perbuatan itu dan menyerah diri kepada polis.-Agensi

 

Artikel Lain