SEORANG pengurus kanan dipecat selepas didakwa mencium staf wanita di pejabat.
Dia bagaimanapun berjaya memenangi saman terhadap majikannya selepas keputusan akhir mahkamah dibuat pada 2017.
Kejadian yang berlaku pada 2015 itu kembali mendapat perhatian selepas Kesatuan Sekerja Umum Shanghai berkongsi ringkasan kes pada 22 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada kempen pendidikan undang-undang buruh.
Berdasarkan perkongsian, Eksekutif yang dikenali sebagai Lin, merupakan penyelia pengeluaran di sebuah syarikat perkapalan asing di Qingdao, wilayah Shandong, China.
Dia telah ditamatkan perkhidmatan pada Mei 2015 kerana melanggar dasar syarikat dengan mengganggu secara seksual seorang pekerja wanita dan menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi.
Keputusan syarikat itu berpunca daripada rakaman pengawasan yang menunjukkan Lin memeluk dan mencium seorang pekerja wanita, bernama Shi, di tangga pejabat.
Syarikat itu, yang namanya dirahsiakan menuduh Lin mengganggu Shi secara seksual.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Lin dan seterusnya bertindak menyaman syarikatnya selain menuntut pampasan.
Mahkamah di Qingdao, yang menjalankan perbicaraan awal, memutuskan bahawa tingkah laku Lin terhadap Shi adalah tidak wajar dan melanggar kod kelakuan syarikat untuk eksekutif.
Oleh itu, mahkamah menganggap sah bagi syarikat itu untuk menamatkan pekerjaannya.
Lin kemudiannya memfailkan rayuan.
Mahkamah rayuan mendapati syarikat itu gagal memberikan sebarang bukti yang menunjukkan Lin telah menerima faedah peribadi daripada jawatannya.
Susulan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sama ada tindakan pekerja selari dengan piawaian moral atau sebaliknya, ia tidak seharusnya menjadi pertimbangan untuk dibuang kerja.
Menurut keputusan akhir yang dikeluarkan oleh mahkamah tinggi pada Februari 2017, syarikat itu mesti mengambil semula Lin bekerja.
Malah pihak syarikat diarah membayar pampasan kepadanya sepanjang tempoh pemecatan dan berdasarkan pendapatan tahunannya dianggarkan sebanyak 1.13 juta yuan (RM668,057). -Agensi


