suria

Tiga tahun eksploitasi seksual, peras ugut wanita secara online... Graduan universiti ditahan miliki 9 akaun palsu

SEORANG lelaki berusia 37 tahun ditahan selepas didakwa memeras ugut, mengugut, dan mengeksploitasi secara seksual seorang wanita selama tiga tahun.

Kesemua jenayah dilakukan menerusi akaun Instagram dan emel palsu yang dibinanya bagi tujuan pemerasan.

Berdasarkan aduan, mangsa mengenali suspek melalui laman Instagram pada 2021.

Dia yang terpedaya secara emosi mula berkongsi kandungan sensitif yang kemudiannya digunakan suspek untuk memeras ugut menerusi beberapa akaun media sosial palsu.

Malah, suspek turut mengancamnya dengan penculikan, serangan asid serta mencederakan keluarganya sekiranya tidak diberikan sejumlah wang Rs1 lakh (RM4,972).

Kejadian dilaporkan berlaku di Shahdara Delhi, India.

Pada 28 Mei, pasukan polis siber melancarkan operasi dan mengesan sembilan akaun Instagram palsu dan satu ID Gmail yang digunakan dalam pemerasan itu.

Analisis teknikal serta data daripada Meta dan Google turut membantu pasukan siber mengesan nombor telefon yang digunakan suspek.

Susulan itu, suspek yang merupakan seorang graduan dari Universiti Delhi, ditahan pada keesokan harinya dan mengaku melakukan jenayah berkenaan. -Agensi

Artikel Lain