ISRAEL melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang utama Yaman di ibu negara, Sanaa, sehari selepas kumpulan Houthi melepaskan dua peluru balistik ke arah mereka.
Saluran berita Al Masirah TV yang bersekutu dengan Houthi melaporkan, empat serangan yang dilancarkan pada 28 Mei lalu mengenai landasan.
Pengarah Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa, Khaled al-Shaief, menulis pada X bahawa serangan itu memusnahkan sepenuhnya pesawat awam Yemenia Airways yang beroperasi dari lapangan terbang tersebut.
Difahamkan, pesawat Yaman itu dijadual bakal membawa jemaah yang akan menunaikan haji ke Arab Saudi.
Mengulas tentang serangan awal yang dilakukan, pemimpin Houthi, Abdul-Malik al-Houthi, berkata ia bertujuan memberi tekanan mengenai pendirian solidariti mereka dalam menyokong rakyat Palestin yang menderita di bawah serangan Israel di Gaza.
"Tidak kira saiz pencerobohan Israel dan tidak kira berapa kerap ia berulang, ia tidak akan menjejaskan pendirian rakyat kita dalam menyokong rakyat Palestin.
"Musuh Israel kekal dalam kedudukan lemah berikutan pencerobohan Amerika dihentikan kerana kegagalannya," katanya.
Terdahulu kumpulan bersenjata Houthi melepaskan dua peluru ke arah Israel namun ia berjaya ditembak jatuh oleh pertahanan udara Israel.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Israel Katz berkata, tentera udara Israel menyasarkan pengganas Houthi di lapangan terbang.
"Ini adalah mesej yang jelas dan penerusan dasar kami. Sesiapa yang menembak ke arah Israel akan membayar harga yang mahal," kata Katz.
Untuk rekod, Lapangan Terbang Sanaa, yang terbesar di Yaman, baru sahaja kembali beroperasi minggu lalu selepas pembaikan sementara dan pemulihan landasan berikutan serangan Israel sebelum ini.
Sejak Israel memulakan perangnya ke atas Gaza pada Oktober 2023, Houthi berulang kali menyasarkan serangan balas ke atas Israel.
Minggu lalu, mereka memberi amaran akan mengenakan 'sekatan tentera laut' di pelabuhan Israel Haifa selepas Israel meningkatkan serangan tenteranya di Gaza. -Agensi


